adeq Iqbal Fahreen..
sedehnye...guys,,i want to share something that i had found on fb...seriously sad for me .. n sure for u...if u wanna read,,read slow2 k..because it will make u.......crying..huaaaaaaaaaaaaaaa!!!
k la...please read it..n u will know how's big a love from a mom...a strong mom!!
Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membu...sung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang,
baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju
itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium
baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh
abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan
jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan
abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil
abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua
air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan
lengan sasanya.
"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun
hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan
membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.
"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali
terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah
menjauh memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah
berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap
dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali
terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa
abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk ke dalam liang lahad
untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja
dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.
Bertubi-tubi mak
terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada
satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.
Soalan itu asyik
terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah
anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa
kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka hairan
kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan
senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur
tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan
mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas
dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang
tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali
mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan
nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang
tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan
yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak
tidak menangis?
Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak.
kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'.
Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata,
cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.
26
Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu,
mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah
Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu
setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,
Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tetapi tak jumpa kek
macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak
kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali
ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.
Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang
masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang,
sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak
sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan abang semakin kritikal. Perut abang semakin
membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring
serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan
Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' abang
sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh
dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan-lahan.
Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa
Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya
pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab,
"InsyaAllah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka,
sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu Abang
sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan ujian
Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah
jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka.
Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.
13 Mac 2011- Hari
ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang
pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu
terakhir bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan
apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang
nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab, "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata
padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba.
Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan
kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju
Abang ke paras dada.
Separuh berbisik, mak beritahu pegawai
itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'!
Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang
yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu
tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak
bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas
tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma
15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika
itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan
air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"
Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu
depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya
mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya
teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa
mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu
perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat
Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang
memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih
agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan
yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo.
Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.
Mak dan abah tidak
kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung,
mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak
bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana
saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak
tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam
Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air
tebu, air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan
walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.
Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk
berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu
dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung
kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan
tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah
sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa
berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk
pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama
Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk
benarkan Kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya
berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan
Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim
merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak
terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek
berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang
melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk
Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga
rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang
Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr
Adura rajin menulis mengenai kisah abang didalam blognya dan ramai yang
menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu
bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk
Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas
abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada
lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang.
Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu.
Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya
meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu
meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang
berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu
dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang.
Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu,
mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang
tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan
Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya.
Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga
bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu
mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan
menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun
abang sudah tiada lagi di dunia.
9 April 2011- Pagi itu mak
pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa
Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang
sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik
nafas.
Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam
tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long
bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan
abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga
turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum
seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu?
Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di
celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala
melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang
ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu
mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak
'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad
walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.
Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.
Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!"
Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan
segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang.
Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu
sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang
sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi
Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula
meraung dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis,
keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan
seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak
mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan
jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis
di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan
lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri
di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat
yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan
tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada
orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air
mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."
Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman
tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.
Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang
di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang.
Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang
mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang
telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana
nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak
tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang
sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah
sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan
tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan
menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa
dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan
kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya
keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri
segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri
yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab
itu mak tidak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup
mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan
sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang
dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah
adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang
masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis
kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan
saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal
usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang
pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun
pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir
ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia
empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah
(ibu) dan Hamdan (bapa).
Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.
Sebuah kisah benar menyayat hati yang melambangkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
|
sekian |